Jumaat, 2 September 2016

JODOH?? SAYA BOLEH 'SURVIVE' CARA SAYA... - MAYA KARIN



Saya ada mengenali seseorang... - Maya Karin

Langkah Maya Karin berkecimpung dalam dunia lakonan bermula dengan filem Seri Dewi Malam, naskhah arahan Aziz M. Osman yang diterbitkan pada 2001.

Pada awal penglibatannya, kredibiliti Maya sebagai pelakon pernah dipertikaikan gara-gara diberikan peranan utama dalam filem tersebut. Dia didakwa hanya berbekalkan wajah jelita untuk meraih tempat dalam industri.

Tanpa pendidikan formal dalam bidang lakonan, pemilik nama Maya Karin Roelcke itu menetapkan pendiriannya dalam dunia seni. Dia tidak menjadikan setiap pandangan negatif sebagai penghalang untuk terus membuktikan kemampuan.

Masa silih berganti, wanita yang diberi jolokan pontianak jelita hasil impak filem Pontianak Harum Sundal Malam itu sudah hampir 15 tahun bertapak sebagai pelakon filem. Dia bahkan pernah menerima pelbagai pencalonan dan trofi dalam majlis anugerah tempatan mahupun antarabangsa.



Menjadi pencalonan yang kesembilan dan ke-10 selama hayat bergelar pelakon, peluang meletakkan nama sekali lagi dalam senarai lima calon akhir bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) merupakan suatu pencapaian luar biasa sepanjang tempoh kerjayanya.

Pada malam kemuncak FFM28 esok, Maya menjadi pelakon wanita pertama dalam sejarah FFM yang menerima dua pencalonan dalam satu kategori. Dia menganggap kepercayaan tersebut sebagai suatu penghormatan, sekali gus membuktikan usaha kerasnya selama ini berbaloi.

“Sewaktu diberitahu menerima dua pencalonan dalam FFM28, saya tidak menyangka bahawa kedua-dua filem tersebut tercalon dalam satu kategori yang sama,” katanya dalam nada teruja.

Sukar buatnya mentafsir trofi daripada naskhah mana yang bakal dibawa pulang pada acara berprestij itu kelak, namun baginya setiap karya mempunyai kredibiliti dan keunikan tersendiri.

Tidak ingin terlalu mudah meletakkan harapan, Maya menyifatkan kesemua calon yang bersaing iaitu Nabila Huda bagi filem Munafik, Lisa Surihani (Suamiku Encik Perfect 10), dan Nadiya Nisaa (Love Supermoon) mempunyai kelebihan masing-masing untuk menang.

Berkongsi pengalaman menghasilkan kedua-dua filem tersebut, sambil melepaskan ketawa besar, Maya mengakui momen ‘bermain’ dengan lipas dan pengalaman menginap di Taman Negara Bako, Sarawak sebagai detik paling sukar untuk dilupakan.

“"Dalam filem Jwanita pula terdapat satu babak memerlukan saya memegang seekor lipas keluar daripada hidung yang seharusnya dilakukan oleh Marsha."

“"Disebabkan Marsha tidak boleh menahan rasa geli, tanggungjawab itu diberikan kepada saya sebelum teknik janaan komputer (CGI) dilakukan,"

Hayat lakonan

Diajak bercakap tentang perkembangan dunia lakonan, kemunculan bintang muda bahkan ramai yang berwajah Pan Asian antara yang menarik perhatian untuk dibicarakan.



Namun, di sebalik kemunculan ramai pelakon baharu, peterana Maya sebagai heroin filem Melayu masih relevan.

Dia tidak menyangka percubaan awalnya sewaktu berusia 22 tahun berjaya membuahkan hasil sehingga meletakkan siapa dirinya seperti hari ini.

Ditebak sama ada akan meneruskan kerjaya sebagai anak seni meskipun telah lanjut usia kelak, wanita berusia 37 tahun itu hanya mengukir senyuman.

Dia menghela nafas panjang dan mengambil seketika waktu sebelum menjawab pertanyaan tersebut. Dalam nada yakin, Maya mengakui akan terus berkarya dan menjayakan watak bersesuaian dengan usia dalam apa jua naskhah akan datang.

"“Biarpun telah menjangkau usia 40 atau 50 tahun sekalipun, jika khidmat masih diperlukan, saya akan berusaha memberi yang terbaik."

"“Insya-Allah, sekiranya dipanjangkan usia dan diizinkan Tuhan, saya akan terus berkarya dan menyerikan industri seni tempatan,” tuturnya optimis mengenai perjalanan kerjayanya kelak."

Nyanyian

Membetulkan tempat duduk sambil menyelak rambutnya ke belakang, Maya bersyukur kerana bukan hanya kerjaya lakonan sentiasa diterima, bahkan nyanyiannya juga berlangsung lancar.



Bakal masuk studio rakaman sekitar bulan Oktober nanti, Maya dijadualkan merakamkan single baharu berjudul Senyuman Manismu duet bersama Tomok.

Ia menjadi taruhan terbaharu Pelakon Wanita Terbaik FFM25 itu selepas single Serik Dengan Cinta duet bersama Juzzthin yang diharapkan dapat memberi impak kepada kerjaya nyanyiannya.

“"Lagu berkenaan merupakan sebuah genre baharu dan berbeza berbanding single sebelum ini. Saya mengharapkan ia dapat dilancarkan sebulan selepas sesi rakaman studio selesai."

"“Saya gemar mencuba pelbagai genre lagu dan tidak terlalu fokus kepada satu corak muzik sahaja, jadi ia satu cabaran yang menarik,”"

Menjadikan studio rakaman sebagai ‘gimnasium’ untuk berlatih vokal, Maya turut mengakui sedang dalam usaha mengumpul material bagi menyiapkan album keempatnya kelak.

Cinta

Tidak pernah tersentak saat kisah peribadinya cuba didalami, Maya ketawa lagi. Dalam mana-mana pertemuan dengan pihak media, pasti persoalan itu akan tetap diusulkan kepadanya.



Seorang yang mudah berkongsi ceritera peribadinya, Maya mengakui sehingga kini, status solo yang disandang sekian lama masih tidak berubah. Dia masih tidak menemui calon suami selepas perkahwinan pertamanya dengan Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali berakhir sejak 2010.

Sejak dari detik itu juga, Maya tidak pernah berhenti menerima persoalan tentang keinginan untuk kembali menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

Selepas dihangatkan dengan kisah menerima sebentuk cincin berlian daripada individu yang tidak dikenali, Maya dikatakan sedang berpacaran dengan seorang lelaki yang tiga tahun lebih muda daripadanya.

"“Saya akui ada mengenali seseorang. Kami berkenalan sejak Januari lalu, namun buat masa sekarang tahap hubungan itu masih tidak boleh dinyatakan."

"“Biarlah segalanya terserah pada jodoh kerana tiada apa yang perlu dikejar-kejar lagi,"

Berdiri pada tangga usia sekarang, kestabilan kewangan dan pengalaman yang telah dirasai, ternyata Maya sudah tidak perlu terburu-buru mencari cinta. Dia lebih selesa menjalani hidup secara mandiri tanpa terlalu bergantung harap kepada lelaki.

Adussayang Barulah Putih!

Maya Karin & Marsha Milan Scary Prank


KOMEN ANDA SANGAT DIPERLUKAN BAGI KEMAJUAN KAMI UNTUK TERUS BERKARYA.
DIHARAPKAN :
* KOMENLAH DENGAN BAHASA YANG BAIK
* TIDAK ADA UNSUR SPAM, LUCAH
* TIDAK MERUGIKAN ORANG LAIN
* MENUNJUKKAN IDENTITI YANG JELAS BUKAN ANONYMOUS

DIPERKENANKAN :
* KOMEN PROMOSI LINK WEB ANDA
* KRITIK & SARANAN

[PROTECTED] BY DMCA PROTECTION PRO™
EmoticonEmoticon